Program CSR : Darul Ulum Az-Zuhri, Puncak Alam

Laporan oleh Ustaz Farhan Ahmad
24 Mac 2022

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diadakan di sekolah tahfiz Darul Ulum Az-Zuhri, Puncak Alam telah berjalan dengan jayanya. Ia bertujuan untuk menyantuni anak-anak tahfiz melalui pelbagai bentuk bantuan. Turut dihadiri guru-guru silat termasuk Cikgu Safwan, Ustaz Farhan Ahmad, dan Cikgu Zulfahmi. Mereka hadir untuk memberikan sokongan serta penglibatan aktif dalam program ini.

Penglibatan para guru silat dalam acara CSR ini menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan dan kesejahteraan pelajar tahfiz. Sumbangan kewangan yang dikumpulkan adalah dari para ahli dan orang awam. Ia akan digunakan untuk memperbaiki kemudahan sekolah dan menyediakan kelengkapan belajar. Sumbangan itu juga dapat digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan pengalaman pendidikan dan kehidupan pelajar. 

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dari segi material, tetapi juga memperkuatkan semangat komuniti serta kesedaran terhadap kepentingan pendidikan tahfiz. Usaha ini mencerminkan nilai-nilai murni dalam membantu golongan yang memerlukan, yang selari dengan falsafah Seni Gayung Fatani yang menekankan kepentingan membina karakter dan disiplin.

Latar Belakang Darul Ulum Azzuhri

Ditubuhkan sekitar tahun 2018 dan kini mempunyai lebih kurang 30 orang pelajar yang mengikuti pengajian di kampus induk Puncak Alam. Pelajar-pelajar ini membayar yuran bulanan yang sangat minimum, sekitar RM150–RM350, bergantung kepada kemampuan keluarga masing-masing.

Buat masa ini, operasi harian masih dijalankan di sebuah unit rumah kedai dua tingkat. Menempatkan kesemua aktiviti pelajar termasuk mengaji, solat, memasak, belajar, dan tidur — semuanya dalam ruang serba sederhana tersebut.

Pembangunan Bangunan Utama di Kapar

Pihak maahad kini sedang dalam proses pembinaan bangunan utama mereka yang terletak di Kapar, Selangor. Namun begitu, projek ini masih memerlukan dana tambahan sekitar RM90,000++ untuk disempurnakan sepenuhnya.  Justeru, sumbangan orang ramai amat dialu-alukan bagi merealisasikan impian mereka untuk memiliki kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan tersusun.

Sumbangan & Sokongan Masyarakat

Dalam lawatan kali ini, kami telah menyampaikan:

  • Sumbangan wang tunai sebanyak RM2,500, hasil infaq orang ramai yang budiman.
  • Beberapa peralatan senaman, yang telah diinfaqkan oleh seorang hamba Allah untuk kegunaan pelajar-pelajar tahfiz.

Alhamdulillah, penerimaan pihak maahad amat mesra dan bersyukur.

Dengan kerjasama semua pihak, diharapkan program ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar di masa hadapan. Kegiatan sebegini bukan sahaja membantu golongan pelajar tetapi juga memperkukuh hubungan antara pihak sekolah, komuniti, dan masyarakat secara keseluruhan.

Moga sumbangan ini memberi manfaat buat para pelajar serta memudahkan sedikit sebanyak urusan pihak pengurusan dalam menggerakkan operasi harian.

Insya-Allah.