Majlis Iftar Perdana Seni Gayung Fatani

Laporan oleh Ustaz Farhan Ahmad, 19 April 2022


Tarikh: 17 Ramadhan 1443H / 19 April 2022
Tempat: Hotel Perdana, Kuala Lumpur

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Alhamdulillah, pada 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H, pihak kami dari Seni Gayung Fatani telah menganjurkan Majlis Iftar Perdana bersama para pelajar tahfiz dan guru-guru pengiring dari Akademi Quran Sabil Arrahimah (AQSA), Puncak Alam. Majlis penuh keberkatan ini telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Perdana, Kuala Lumpur. Insya-Allah.

Atur Cara Majlis

Majlis bermula sekitar jam 5:00 petang dengan majlis khatam al-Quran (30 juzuk), diikuti dengan majlis tahlil, selawat dan doa yang dipimpin oleh para pelajar tahfiz sendiri. Kehadiran mereka menyerikan lagi suasana majlis dengan bacaan yang merdu dan penuh penghayatan.

Menjelang waktu berbuka, sekitar 6:30 petang, wakil daripada Seni Gayung Fatani, PESONA serta pihak hotel menyampaikan sumbangan cenderahati dan duit raya kepada para pelajar serta guru-guru tahfiz. Suasana menjadi lebih bermakna apabila senyuman terukir di wajah anak-anak ini yang menyambut sumbangan dengan penuh kesyukuran.

Waktu berbuka puasa diadakan secara berjemaah, diikuti dengan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih (8 rakaat + 3 witir) yang dilaksanakan di surau hotel. Solat Isyak dan Witir dipimpin oleh pelajar tahfiz, manakala solat Tarawih telah saya pimpin sendiri. Semoga ibadah kami bersama diterima oleh Allah SWT.

Ucapan Terima Kasih dan Doa

Majlis ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan sumbangan dari pelbagai pihak. Terima kasih kami ucapkan kepada semua:

  • Tuan-tuan dan puan-puan yang menyumbang
  • Para ahli Seni Gayung Fatani dan PESONA
  • Pihak hotel yang sudi menjadi tuan rumah
  • Individu-individu budiman termasuk Datuk, Datin serta para dermawan yang dirahmati Allah

Semoga Allah SWT membalas jasa baik kalian dengan ganjaran yang lebih besar, rahmat yang melimpah dan keberkatan hidup di dunia serta akhirat.

Sabda Nabi SAW tentang Memberi Makan kepada Orang Berpuasa:

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِمْ مِنْ غَيْرِ أَنْ يُنْقَصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا”

Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang membantu orang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa sedikit pun dikurangkan daripada pahalanya.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah – Sahih)


Semoga majlis seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang. Ia bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama kita, tetapi juga memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama membantu institusi pendidikan Islam dan anak-anak yang memerlukan.

Insya-Allah.